Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimun RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.
"Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ini.
Pada Ogos lepas, sebagai persiapan Hari Raya, Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.
Bayaran bantuan khas kepada penjawat awam itu adalah untuk Gred 1 hingga Gred 54.
Bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara, Najib berkata kerajaan juga bersetuju menambah baik sebanyak 81 skim perkhidmatan daripada pelbagai peringkat mulai November ini.
Perdana Menteri berkata pada Julai lepas, kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan (KGT) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.
Di samping itu, katanya kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum.
-Bernama
Tampilkan postingan dengan label awam. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label awam. Tampilkan semua postingan
Rabu, 13 Agustus 2014
Penjawat awam terima bonus setengah bulan gaji
Malaysiakini Okt 25 2013
Senin, 30 Desember 2013
Tiga Pesalah Muda Jalani Sebatan Ringan Depan Keluarga Orang Awam di Mahkamah

KUALA LUMPUR – Tiga pesalah muda pada Khamis menjalani hukuman sebatan ringan di hadapan anggota keluarga masing-masing di Mahkamah Sesyen Ampang di sini.
Jurulatih peribadi Firman Shah Marzuki, 21, Mohammad Talip Abd Kadir, 20, dan Hazmirul Zulkafli, 19, kedua-duanya mekanik dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik dan hukuman sebatan ringan selepas mengaku bersalah merompak berkumpulan pada 12 Sept lepas.
Masing-masing kelihatan tenang ketika dikenakan dua kali sebatan ringan menggunakan rotan yang dijalankan oleh pegawai dari Penjara Kajang di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.
Dalam prosiding itu, pelaksanaan hukuman tersebut turut dihadiri beberapa pegawai penjara dan doktor perubatan serta orang awam di galeri awam termasuk wartawan.
Mereka didakwa bersama-sama Mohd Ramdan Mohd Ali, 24, merompak bersenjatakan pisau dan mengambil kamera digital Sony, kunci kereta Toyota Vios, telefon imbit Nokia, wang tabung RM600 milik Yeo Chai Nee, 32, kesemuanya bernilai RM1,200 di Jalan AG 1/4 Astana, Gombak dekat sini pada 4.30 pagi, 17 Mei 2012.
Pada 12 Sept lalu, Manira menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan empat kali sebatan terhadap Mohd Ramdan yang bukan merupakan pesalah muda.
Firman, diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000 dengan seorang penjamin mengikut Seksyen 293(1)(b) Kanun Tatacara Jenayah dan sebatan ringan dua kali mengikut Seksyen 2(1)(c) kanun sama.
Muhammad Talip dan Hazmirul, masing-masing diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama 12 bulan dengan cagaran RM5,000 berserta seorang penjamin dan hukuman sebatan ringan mengikut seksyen yang sama.
Terdahulu, sebelum hukuman sebatan dilaksanakan, mahkamah meminta doktor memeriksa tahap kesihatan ketiga-tiga mereka dengan hukuman dimulakan terhadap Hazmirul disusuli Firman dan Muhammad Talip sambil disaksikan ibu bapa dan anggota keluarga mereka yang diminta berdiri di belakang mereka.
Manira kemudian menasihati ketiga-tiga pesalah muda itu supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi pada masa hadapan dan bijak memilih rakan.
“Mahkamah berharap agar pihak keluarga sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan jenayah dan mengulanginya, hari ini mahkamah beri peluang kerana mereka pesalah muda. “Ini hanya sebatan ringan, cuba kamu bayangkan sebatan sebenar yang dijalankan di penjara,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie manakala Firman diwakili peguam bela Vasu Dev dan peguam Mohd Riza Zakaria mewakili Hazmirul dan Muhammad Talip. -BERNAMA
Langganan:
Postingan (Atom)